Dalam menuju senja itu aku terus berlari mengejar matahari seakan tidak mahu lagi kamu pergi menjauh dari aku. Seperti mengikut burung burung terbang bebas tanpa sebarang tali, gambaran bayang bayang yang terhasil dari tubuhmu adalah yang cantik sekali di mataku.
Tentang masa yang sering tertangguh untuk menikmati anak matamu, setiap kalinya tercipta satu garis halus antara keringat dan ketetapan. Sama ada dipersoal mahupun badan mengering dikerah keringatnya, aku tak akan mampu bila semesta tidak menyetujuinya.
Mereka kata kamu adalah api, dan aku adalah udara. Rasionalnya, tanpa kehadiran udara api tidak mungkin boleh menyala. Berikan tanganmu jabat jemariku supaya aku boleh simpan semua haruman dari hangat tubuhmu. Di antara daun gugur, keresahanmu jelas terlukis. Seperti anak kelaparan susu, aku menyanyikan lagu kegemaran yang manis manis untuk menyeru kembali senyum di lirik bibir merahmu.
Terkadang mimpi membawa aku ke dimensi lain -- memuja serta menghargai kenang kenangan yang tercipta dalam minda separuh sedar hanya untuk bersamamu. Ingatanku mungkin hilang usai bangun dari lena yang tadi. Jika Tuhan masih mengasihiku, Dia akan tinggalkan sedikit nafasmu di tepi telingaku membisikkan kata rindu yang paling dalam, dari jiwamu -- membenarkan aku senyum sendiri sepanjang hari itu. Sekurang kurangnya, dengan hanya mengingatkanmu.
Berkenaan bintang bintang yang membentuk buruj seekor singa di langit sedia menerangi malam malam ku, tidak pula aku ambil peduli kerana aku tahu kamu adalah alamat kepada surat suratku untuk dihantar ke langit Tuhan. Notanya tertulis ringkas, "peluklah dia sentiasa, Tuhan." Sementara menunggu malaikat menghantar surat suratku kepada Tuhan, aku menari di tengah hujan untuk menghilangkan resah awan lalu melukis pelangi di pipimu yang sering mengalirkan tangis hibamu.
Bukalah pintu pagar di hati agar jatuh dan bangunmu aku sedia berkelana bersamamu. Dunia akan berkata, "laut bergelora akan tenang." Kadang kadang, "jalan gelap pasti terang." Dan aku pula masih dengan prinsip, "jangan bimbang sayang."
Kerana kamu harus tahu. Atas apa pun tulisan ini ditafsir olehmu, kita ini hanyalah sisa sisa keikhlasan yang tidak disempurnakan lagi.
No comments:
Post a Comment