Untuk kesekiannya, menemukan kamu
adalah perkara paling indah walaupun masa seakan berhenti memerlahankan suasana
kepadaku untuk menikmati perasaan asing yang menyinggah di keriuhan orang
ramai. Aku menatap sepi pada foto yang tertampal di dinding dihiasi dengan
contengan serta tulisan tulisan cinta dari kamu – untuk aku.
Jemarimu menelusuri batuan di
tangga menyaksikan betapa kamu mengagumi pada ukiran dan ciptaannya. Sesekali kamu
mengusap cincin marmar merah di jari sambil membetulkan helaian rambut ditiup
sepoi angin telah menjadikan kamu seorang gadis paling manis selepas dari kanak
kanak kecil yang sedang menjengket kakinya untuk membeli gula gula kapas berwarna
merah jambu paling besar.
Silauan cahaya pagi memandikan
wajahmu telah melawan alis matamu untuk terbuka sepenuhnya melihat permandangan
di hadapan – dan aku masih tidak berganjak asyik memandang seorang gadis dalam
cahaya sedang menguntum senyuman paling mewah pernah aku terima.
Seperti waktu yang tak pernah
berhenti, aku tidak mahu sebarang memori berlalu pergi meninggalkan jabatan
minda di dalam benak fikiranku. Biarkan mataku jauh melaut ke wajahmu hingga ke
dasar kerana aku tahu, kamu tak akan biarkan aku lemas keseorangan dalam idea
khayal akanmu.
Masa depan tetap cerah jika kita
menjengah, tetapi aku masih lelaki yang sama – mahukan kamu di masa lalu
seperti hari pertama aku menegur “hai” dan mengajak untuk sesi pertukaran
nombor telefon. Agak kelakar apabila mengingatkan tidak sampai sepuluh minit
selepas pertemuan pertama kita, aku menelefon lalu bertanyakan khabarmu.
Tanpa sedar aku masih menjadikan
kelopak mawar merah 7 tahun lalu sebagai penanda buku puisi kegemaran kita yang
ditulis setiap kali keletihan membuah bicara lalu dizahirkan dengan tulisan – dari kesunyian menjadi kata kata yang mampu
hidup untuk seribu tahun lagi.
Keresahan dan desahan yang pernah
kita curah dalam berahi merindukan jiwa, malam menjadi penyelamat kerana
menyediakan rantaian bintang paling terang untuk santapan mata sehingga aku
dalam diam berasa takut untuk melepaskan tanganmu yang kesejukan dek dingin laut
tak bertepian.
Dan apabila pagi kembali pada
keesokan hari, aku masih tetap di sini. Menantikan bauan dari helaian rambut
serta sosok tubuhmu bersama warna cinta paling biru. Sambil aku tersenyum
melihat keindahan di hadapanku, aku petik kelopak mawar merah yang baru –
menggantikan burgundy dalam puisi.
Melankolik yang patut dirai ramai. Tersentuh dan terbawa. Bisa dijadikan siri mingguan andai berminat.
ReplyDeleteAda ruang untuk menulis atau suggestion buat saya?
DeleteBisa saya jadikan tulisan ini sebagai sebuah filem-pendek-monolog?
ReplyDeleteSila hubungi saya di twitter; @fdhlzmr
Delete