Ketipan kuku di pagi Isnin mula mencari teduh antara dingin dan daunan berguguran dibawa angin bersiur membentuk bujuk rindu pada teman. Semakin aku melontar pandangan mata pada saujana terbentang, seraut wajah kegemaran muncul dalam diam dari jauh. Senyuman yang takut untuk hilang, menjemput segala rasa berkecamuk melawan transisi darah yang mengalir dalam tubuh. Mual. Terbatuk aku, menahan kepulan asap rokok yang tidak berjaya dilepas kerongkong.
Buih buih teh melekat pada sisi bibirnya, jam masih pelangi pagi. Sedang aku, tenang tidur menemukan dia dalam mimpi. Demi masa yang selalu terlewatkan, masih adakah yang tersisa buat kita? Dia menggaru dagu, kemudian bingung sendiri. "Aku harus lakukan ini." Ngomel dia dari jiwa paling dalam.
Helai wangian yang kamu simpan rapi meninggalkan sebaris nota berbunyi, "aku tersentak ditembak mimpi semalam." Sekali baca seakan tiada makna. Sekali lagi baca, ada jiwa tersembunyi dalam stanza kehitaman itu. Dia-aku yang punya seteru jiwa sahaja akan merasakan buat sementara. Seolah kami jua yang telah ditembak mimpi semalam, melalui rasa aneh ini.
Terlalu manis permainan emosi dia, dari senyum bahagia hingga bingung hampa dipapar tulus pada wajah yang jarang jarang dia temui. Aku terima pandangannya dalam dalam, memeluk wajahnya lalu melihatkan pancar doa dari diam. "Tuhan, gadis ini tidak layak bermain emosi kerana mulusnya hati seorang dia. Aku mohon."
Dan seakan doaku diangkat terus ke langit, kamu dengan serta merta mengubah senyum kembali setelah aku menghulur gula gula dingin berperisa pudina ke arahmu. Ibuku selalu berpesan, "ambil dua, satu tak cukup." Seperti aku juga, kamu tertarik dengan tawaran nyaman itu. Dengan setiap ambilan dari kamu, aku melontarkan kata yang sama dan akhirnya ditangan kamu ada 10 biji semuanya, meninggalkan kekosongan di kocekku.
Masa depan sifatnya malap, kabur dalam cahaya. Ianya ada, tetapi sibuk menjerut leher bagi yang terlalu ingin melihatnya terlebih dahulu. Esok, tidak seperti semalam kerana hari ini aku terus asyik memeluk jiwa dan wajahmu dalam diam, depan depan tanpa kamu sedar. Bunyi seakan metafora, tetapi itulah yang berlaku sebenarnya.
Sesungguhnya, aku ingin terus mengkhayalkan kamu untuk sepanjang hari tanpa sebarang bantuan dari daunan ganja menjemput mokhsha memutihkan mata. Kamu, hidup. Aku juga, hidup. Seharusnya, begitulah. Untuk setiap hari.
No comments:
Post a Comment