November 21, 2016

Panji Bahagia


Bawalah aku bersama panji bahagia berwarna putih yang akan menerangi setiap pelusuk alam bila malam menenggelamkan segala cahaya dari langit mahupun lampu dari bangunan bangunan tinggi. akanku junjung tinggi tinggi panji bahagia itu supaya semua makhluk membentuk satu. Kita harus bersama, hingga ke suatu daerah baru. Bawalah aku bersama, tolong. Panji bahagia bisa mengubati segala penyakit yang ada. Tidak mahukah engkau dunia menjadi lebih aman, tanpa sengketa dan darah yang mengalir lalu meresap ke dalam bumi?

Dirikan unggun api sebesar yang engkau mahu, tarik perhati mata mata rabun. Biarpun buta, asap dari unggun api itu akan menyedarkan mereka akan kehadiran kita. Di sepanjang perjalanan kita menuju daerah baru itu, akan aku taburkan bunga bungaan melur. Tanda di setiap langkah itu akan memberi suatu kehidupan baru di sekian hari.

Berdirilah kau bersama kami, tiada apa yang mahu dikejarkan di dunia ini selain bahagia. Sila kelaskan sendiri makna bahagia, bagaimana engkau melihat raksa dalam diri yang kecil kini bersuara bakal mengadili dunia untuk jiwa bersatu.

Jangan takut, ianya cuma sebuah langkah. Tanpa kudrat dan langkah baru, apa lagi yang tinggal untuk kita? Kolot dan jumud dibiarkan menjadi sejarah buat mereka yang bernostalgia. Bukan untuk kita yang mahu terus hidup ke depan.

Bintang semesta akan membawa kita ke arah yang dituju. Suatu daerah yang tidak pernah dijejaki sesiapa. Kita akan bina dan pacakkan panji panji bahagia di sekelilingnya, dan berhenti menangis menulis lagu sedih. Sesuatu yang hebat akan menyusul, mampu bertahan lagikah engkau untuk menutup mata dan hidup dalam sejarah?

Kita buktikan, sejarah adalah suatu kesalahan yang kejam. Kita pastikan, sejarah melihat sendiri azab serta bala yang berlaku atas "sejarahnya."

Ayuh, bangkitlah kamu semua. Aku akan berangkat ke daerah baru setelah bangkitnya matahari Subuh pagi nanti. Siapa lambat, kena tinggal.


1 comment: