November 21, 2016

Gila Adalah Sebahagian Dari Perjuangan


Bunyi ketipan dari papan kekunci terus berbunyi sedari dua jam yang lalu. "Kemanakah arah tuju jemari ini apabila tulisan dan ideaku menemukan penghujung waktu?" Seperti sarang labah labah yang gah di penjuru bilik, dengan hanya sebatang lidi saja mahligai itu bisa musnah oleh tangan tangan jahat dan tidak senang melihatnya. Apatah lagi tulisan serta idea dari seorang aku yang tidak punya sebarang profil yang hebat ini.

Evolusi hanya bermain di minda, revolusi tidak lagi bersuara di jalan raya. Sedangkan lampu isyarat juga ada amanah yang harus dipikul untuk membentuk manusia. Makna lain, tulisan dan ideaku adalah lebih teruk dari sebatang lampu isyarat? Tidak mungkin.

Sepatu koyak tanda banyak berjalan. Banyak berjalan tanda banyak pengalaman. Yang peliknya, sama ada dalam perjalanan mahu pun pengalaman, aku tidak pernah berjaya menemukan kamu. Yang aku ada, cuma sepatu koyak disarung ke sana ke mari.

Adakah kebenaran tidak lagi menjadi jawapan kepada manusia? Kamu tahu, kamu adalah jawapan kepada aku tetapi kamu ambil keputusan untuk tidak ditemukan aku. Orang kata, masa itu adalah perempuan sundal. Tapi mana adil jika masa diumpamakan dengan perempuan sundal. Perempuan sundal tetap perempuan, lembut dan tulus harus bersarang dalam jiwanya yang paling dalam. Lebih lebih lagi kamu, aku percaya aku tidak sesundal perkataan sundal itu sendiri.

Dunia akan lebih aman hanya dengan hembusan nafas kebenaran; awalnya dulu bersifat alter-ego dan sekarang menjadi ego yang paling besar. Bila riwayat ditamatkan, yang mati hanyalah jasad; tidak bagi idea serta semangat. Setiap masa pun pasti akan ada perantis baru bakal menyusul dan menyambung laungan dan lontaran idea baru.

Dunia, kau harus berwaspada.
Kau tidak akan selalunya begini, megah dan senang memijak anak bumi.

No comments:

Post a Comment