October 3, 2016

Untuk Tiga Bulan


Untuk tiga bulan lamanya, aku menghayati setiap pelusuk kiri dan kanan pemandanganku dari balik tingkap keretapi yang meluncur laju ke destinasi. Kadang dalam kelam, kadang dalam cahaya. Aku teliti setiap titis air hujan yang turun dan melekat ke pipi tingkap keretapi, keseorangan. Yang ada hanyalah dengkuran tidur orang disebelah, tangisan bayi kesejukan, bunyi hentakan rail keretapi dan juga, getaran dari badan yang tak pernah tahan dingin malam.

Untuk tiga bulan. Sama ada nasib mahupun tuah, mata aku tak pernah terlepas dari pandangan seorang gadis santun ayu wajahnya ditempatkan mesti tidak jauh dari kerusi yang ditempah. Biarkan saja televisyen menayangkan cerita-cerita magis bagi membuang segalan kebosanan yang melanda, mata aku tetap tidak pernah berpaling padamu. Dari kerusi ini, ingin ku bertanya siapa nama dan berkongsi senyuman denganmu. Namun, apa yang aku mampu hanyalah dengan mencuri memandangmu hanya disebalik kerusi dan kepala kepala orang ramai di dalam koc keretapi ini. Klasik.

Untuk tiga bulan. Untuk tidak mensiakan satu lagi momen yang mungkin tak pernah berlaku, aku hanya mampu memetik gambarmu dari telefon bimbitku secara curi-curi. Pernah sekali dek kerana aku terlalu kalut dan buntu akan kehadiran bayangan sosok tubuhmu dari penglihatanku, aku memetik gambarmu secara curi-curi tanpa menyembunyikan bunyian dan flash dari telefon bimbitku. Dan kau berpaling, walaupun ralat, sambil tangan menutup ketawa melihat gelagat bodoh aku dari jauh. Sejak dari itu, aku tidak pernah lagi melepaskan peluang memetik gambarmu dan masih tenang sifatnya dalam simpanan telefon bimbitku.

Untuk tiga bulan. Aku hanya mampu mencuri lihat sosok bayanganmu di bawah malap cahaya tidur dari koc keretapi itu dan petikan petikan gambar dari telefon bimbitku ligat bermain di jemariku. Hatta sehingga kini, saat aku menulis bait sempena peristiwa memperingati kamu yang bersifat misteri menyelubung diri. Kesunyian yang menyelimuti koc keretapi ini seakan sangat memahami seorang aku. Tuhan menghadiahi aku dengan hanya sebentuk seorang kamu, petikan gambar, serta kesunyian antara kita yang tidak pernah bertegur sapa ini.

Untuk tiga bulan. Berilah aku walau sekali, Tuhan. Bilakah masanya ditakdirkan dia akan duduk bersebelahan aku? Aku tahu, saat dan tika itu aku tidak mungkin lagi kesunyian menatap pemandangan luar dihadangi titis air hujan yang turun berselang-selikan tangisan bayi, dengkuran tidur dan bunyian rail keretapi. Kerana gadis itu mungkin telahpun berkongsi senyum dan sebahagian kisah hidupnya bersama aku sehingga destinasi kami sampai dalam beberapa jam lagi.


No comments:

Post a Comment