June 9, 2018

Keriuhan Hanyalah Keamanan


aku melontar saujana ke arah tingkap. melihat kenderaan bergerak perlahan dari tingkat tinggi ini, melambai angan pada anak kecil yang tidak tahu apa itu istilah bayangan. anak kecil sifatnya tulus. apa yang dilihat, itulah yang dihadam. tanpa baham, mereka jujur menerima.

aku membayangkan tumbukan buku lima tepat ke arah langit, mohon sokongan segenap pencinta keamanan. amarah adalah dadah, di mana di situ terlihat wajah ibu mencebik bibir, ayah mencekak pinggang. aku buntu. kerusi melayang, tanganku penuh parut menyerah diri.

aku senang berada di keramaian, di lorong bunyi bunyian memecah keheningan. aku berdiri kaku, membiar mindaku melayang, tubuhku dilanggar orang. dan tetap, aku masih di situ. kerana, aku bukan Rangga, mahu berlari ke hutan dan pantai. aku hanya aku.

harapan masih punya cahaya di hujung sana, seorang gadis menjaga pintunya. tenat. aku tidak akan mampu mengharungi tombak kelelahan yang ada. dalam terang aku menahan hiba, melurut dada. dalam gelap aku menyeru sengsara, menyerah raksa. aku penat.

biarkan aku di sini, seorang diri. dibaham sunyi dalam keriuhan orang orang hipokrit menjerut kebahagiaan yang ada. kata juang bukan perajurit, ia hanya memikul tugas. menurut perintah. untuk apa ia berjuang jika luka akhirnya menjadi janji.

senyuman tidak lagi menjadi kepercayaan, manusia hanya mempamerkan bahagia. membuatkan sedih dan gagal seperti tidak pernah wujud. hipokrit, aku benci sama senyuman. duduk seorang diri dalam bilik gelap tanpa cahaya, tasbihku dihujung bantal masih setia berwirid sendiri. mendoakan aku, menyelimuti jiwaku yang terluka.

asa sudah mati, seakan cinta. aku tidak lagi mampu membalas sebarang kata rindu dari kesayangan. seperti mendengar bunyi loceng di biara Jerusalam, aku tewas dalam kebangkitan.

dan aku temui, tubuhku sudah pun ditembusi peluru gagalis. terbaring di tanah, dan mindaku terus aman dalam keriuhan orang ramai tadi.

melayang, dilanggar orang.


1 comment:

  1. --- Dekat, saling cinta, tapi tidak saling memberitahu, itu menyakitkan. Dekat, saling cinta, tapi tidak bisa bersatu, itu jauh lebih menyakitkan.

    Page 27, The Book of Almost, Brian Krisha.

    *senyum

    ReplyDelete