March 19, 2018

Melihat Tamu Bekerja


Ireland, musim salju.

Dahulu, aku pernah diusir orang di rumahku sendiri. Kata mereka aku tidak layak mendiami, apatah lagi menjadi tamu - di rumah sendiri. Aku merangkak keluar, mencari erti perih seorang lelaki. Aku tutup mata semahunya, sambil membiarkan fikiranku bebas berfikir tentang sakit diusir dari rumah sendiri. Rumah itu, aman. Seperti hidangan kopi petang menunggu senja - setia.

Aku menarik nafas dalam dalam, menyerahkan segala perasaan terbuku. Langit di hujung sana semakin ungu. Burung-burung berkejaran di horizon pencinta. Di saat seperti itu, hanya alam yang mengetahui betapa sunyinya daerah ini. Kini debu debu tidak lagi kelihatan, aku sendiri - sunyi.

Ingatan ingatan lama dari rumah itu sering mengganggu fikiranku. Apa yang kuingin sekali hanyalah selimut sulaman gadis rumahku. Si gadis merajut selimut itu dengan tekun senyum, masakan aku tidak merinduinya.

Pernah suatu ketika, si gadis mencurahkan tangisnya di atas selimut yang menyelubungi tubuhku. Aku bertanya, "mengapa begini, wahai gadis?" Dan dia hanya menyahut dengan menyeka air matanya dan mengatakan, "tiada apa."

Haihh, kenapa harus begini wahai perajut selimutku. Seharusnya kamu tahu, di rumah ini tiada siapa yang mendiami. Jika kamu bersedih, sudah tentulah aku penyebabnya. "Adakah aku pernah mengecilkan hatimu?" Aku tanya lagi. "Tidak...aku hanya cuma mahu dicintai lagi." sambil tersenyum tawa.

Tiba di persimpangan bicara, aku hanya mahu menggengam jemari si gadis itu. Orang orang yang pernah mengusir aku dari rumah sendiri itu harus dan kena tahu, bahawa di jemari gadisku itu terdapat sebuah negara dan aku harus bersedia di celahan jemarinya untuk menjadikan negaraku - bahagia.

Kerana kini, kamu adalah tamu rumahku. Kamu tidak seharusnya bekerja sekeras lalu lagi bagi mendiami apa yang sudah pun menjadi milikmu.

No comments:

Post a Comment