March 8, 2017

Tentang Malam



Malam sering menjemput sepanjang panjang persoalan tentang hidup. Lebih lebih lagi ianya seringkali berbentuk tentang seorang kamu. Bidadariku yang sedang terlantar beradu mimpi diselubungi selimut dari jenis bulu kambing biri biri. Suam tenteram.

Malam membicarakan tentang sunyinya suasana, dihimpit jiwa jiwa yang berterbangan dibuai mimpi hingga ke bulan menampakkan sang arnab sedang berlumba lari meninggalkan sang kura kura jauh kebelakang seperti cerita dongeng orang cina. Tentang malam yang sering menyoalkan wujudiah seorang kamu, terus terang aku hanya mahu baring bersebelahan kamu hanya untuk melihat setiap inci wajahmu dalam tidur, tenang dalam segenap rasa.

Terkadang memek wajahmu ketika tidur melihatkan resah awan yang ditanggung sendiri, entah apa sifatnya sungguh aku hanya mahu bersamamu menanggung segala. Mimpi menceritakan lenamu, ketika sayup kedengaran suara Tommy Page menyanyikan kita A Shoulder To Cry On di penjuru bilik sedang aku bermain membelai rambutmu. Harum sentiasa, baunya.

Seperti malam malam lain, malam ini dia terpaksa menjadi panjang hanya kerana mahukan seteru dua jiwa menjadi satu antara aku dan kamu. Aku kaku terpana, seperti cinta dalam saku. Seperti juga tugas butang baju, saling melengkapi tanpa gesaan dari tangan tangan yang mahu memelukmu tubuh badanmu dengan nafsu. Sedang aku hanya mahu memeluk hatimu dalam diam, tidak tercapai.

Atas alasan apa pun bunga matahari mampu menjadi biji kuaci yang manis. Aku juga mahu menjadi seorang barista, membancuh kamu secawan kopi tanpa gula yang harum setiap pagi sebelum siap kamu bertemu sinarnya matahari. Kamu tersenyum, sedang air liur basi kering masih melekat di tepian bibirmu.

Berat juga tugas berjaga malam, jika terus terusan begini aku mungkin hanya bertemu jawapan kepada persoalan persoalan liar yang tidak dikemukakan tadi dalam bentuk seorang kamu, bidadari malamku.

p/s: Selamat Hari Wanita Sedunia buat wanita wanita yang membaca :)

No comments:

Post a Comment