June 25, 2016

Aku Pergi Dulu


Di saat Dhia sibuk menyelongkar laci sederhana kecil disebelah tempat duduk pemandu untuk mencari pin pin kecil berwarna ungu bertitip berlian untuk disematkan di tudung polosnya itu, Dhia tidak semena tersentuh suatu benda yang asing baginya seorang perempuan. Ya, sangat asing kerana Dhia tidak pernah menyentuh apatah lagi menggunakan benda tersebut dalam kehidupan sehariannya.

Dhia tersentuh pemetik api berwarna oren bertulisan hitam. Criket, tulisan di atas badan pemetik api itu mengenalkan dirinya. Lalu Dhia pegang perlahan Criket, dan menggenggam erat sambil menutup rapat alis matanya. Dhia menarik nafas dalam bersama debaran di benak jiwanya juga. Siapa sangka, jaluran air jernih berjaya mengalir perlahan dari mata kirinya yang terkatup rapat itu hanya disebabkan oleh benda sekecil pemetik api berwarna oren.

Sungguh mulus, hati dan jiwanya. Seorang Dhia.

***

Dhia bersama Aku keluar memenuhi sesak orang ramai di kompleks membeli belah. Dhia berjaya menggunakan kuasa politiknya sebagai perempuan untuk menarik Aku sama sama terjebak dengan suasana yang agak baharu bagi Aku. Ya, Aku tak biasa keluar ke kompleks membeli belah di tengah hari rambang bersama seorang perempuan yang istimewa padanya.

Telah penat mundar mandir dan membeli sepasang dua helai baju kesukaan Dhia, Aku membuahkan kata penat dan rehat pada Dhia. Aku menggenggam tangan halus Dhia lalu memimpin ke tempat duduk berhadapan kedai serba serbi bunga. Elok saja Aku melepaskan punggung ke atas kerusi santai itu, pemetik api terkeluar dari poket belah kanan Aku.

Dhia memegang sambil meneliti dari jarak dekat pada matanya terhadap pemetik api tersebut. Kening belah kanannya terangkat sedikit tinggi dari kebiasaaan.

"You tahu Mike Typson selalu simpan lighter dalam poket seluarnya, kemana saja dia pergi walaupun dia bukan smoker?"
"Oh, ya tahu. Sebab dia jadikan lighter tu sebagai analogi dosanya yang tidak dia mampu untuk berhadapan dengan api neraka atas segala kesalahan yang dilakukan semasa hidup."
"Ya, betul. Analogi seperti itu menunjukkan dia mempunyai prinsip hidup yang agak tinggi sebenarnya."

Aku hanya mengangguk sambil mata tak terpejam melihat tangannya yang putih mulus ditumbuhi bulu halus wanita, keunikan yang mendatangkan ketenangan dalam hati. Tidak, bukan tenang kerana bulu halus yang tumbuh di tangannya. Tetapi kerana jari jemarinya masih bebas dengan sebarang cincin tanda dari mana mana lelaki. Aku hanya menunggu waktu, ya semoga waktu berpihak kepadanya.

"Jadi, you pula simpan lighter ni dalam poket kenapa pula?"
Aku hanya tersengih.
"First, I memang seorang smoker. You lupa?"
"Yang kedua?"
"Keduanya, itu pun tanda analogi hidup I."
"Maksudnya?"
"I bawa risiko kematian dalam poket seluar I, kemana mana saja I pergi."
"Menempah maut?"
"Kind of, tapi sekurangnya I masih mampu mengukir senyum walaupun risiko kematian terletak hanya dalam poket seluar I."
"Apa jadi dengan analogi Mike Tyson?"
"Entah. Boleh saja I guna pakai sama. Mungkin, I tengah bawa risiko kematian yang penuh dengan dosa dalam poket I?"
"Hmm, tak bahaya ke?"
"Bahaya."
"And then?"
"Tanpa risiko hidup kita terlalu selesa, Dhia. But I really hope poket I masih ada ruang kosong."
"Ruang kosong? Untuk apa?"
"Untuk mengisi bahagia...yang akan menjadi ubat kepada segala risiko kematian yang penuh dengan dosa dan bahaya yang tadi."

Dhia hanya termenung, temangu seorang.
Sekarang, Aku tidak lagi bersamanya. Sebelum Aku mengangkat langkah pergi, sengaja Aku tinggalkan pemetik api kegemarannya itu dalam laci kereta Dhia. Penemuan pemetik api itu berjaya membuatkan tangan serta jari jemarinya berair kerana menahan air mata dari terus membasahi pipi yang telah pun kemerahan dari tadi, dalam gelap dan ya dalam kereta.

Keadaan sunyi itu mengundang rasa dungu dalam diri Dhia.
Dhia tenung pemetik api itu, dalam kesamaran cahaya dari lampu neon yang setia berdiri menemaninya malam ini.

Kertas yang terlekat di belakang pemetik api tersebut tertanggal dek air mata Dhia sendiri.
Terdapat suatu lagi kertas yang tidak termakan air mata Dhia. Semacam double-taped.

Ianya tertulis,
"Tinggalkan saja dosaku di sini."

Tulisan itu menambahkan lagi perih dalam jiwa sanubari Dhia.
Terkenangkan wajah senyum terakhir Aku sebelum selamat dikebumikan 6 bulan yang lalu.
Aku tidak mati, hanya melangkah pergi membawa risiko kematian jauh dari Dhia. Kerana Dhia harus terus hidup tanpa perasaan takut kepada sebarang risiko yang mendatang.

Dhia, hiduplah engkau bersama senyuman.
Dan jangan lupa tinggalkan dosamu di dalam laci kereta.


No comments:

Post a Comment